Wednesday, December 15, 2010

Tidak Semua Kanak-Kanak Perlukan Vitamin


Keluarga Harmoni keluaran 1-15 Mac 2009

Jangan mudah terpedayu dengan strategi syarikat pengiklanan mengenai kepentingan dan kebaikan vitamin kepada anak-anak anda! Memang benar vitamin dihasilkan untuk tujuan kesihatan yang lebih baik bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Tetapi persoalannya ialah perlu ataupun tidak anak anda diberi vitamin?

Berdasarkan pengamatan yang dilakukan oleh The American Academy of Pediatrik berpusat di Amerika Syarikat (AS) mendapati kebanyakkan kanak-kanak sebenarnya tidak memerlukan vitamin atau mineral tambahan untuk membantu tumbesaran mereka.

Pemberian vitamin dan mineral tambahan hanya diperlukan oleh kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat atau di bawah mengawasan doktor. Dalam kata lain, ia tidak diperlukan oleh kanak-kanak dan remaja yang mempunyai tubuh badan yang sihat, cergas serta terjaga pemakanannya.

Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, para penyelidik mendapati ramai kanak-kanak dan remaja di negara itu mengambil mineral tambahan yang tidak diperlukan tubuh mereka sebenarnya.

Pakar pemakanan berpendapat selagi kanak-kanak dan remaja berkenaan mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat, mereka sebenarnya tidak perlu diberi vitamin atau sebarang mineral tambahan. Apa yang mereka makan setiap hari telah membekalkan vitamin dan meneral yang mencukupi secara semula jadi.

Ini bermakna hanya kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan nutrien atau zat, kanak-kanak yang kurang aktiviti fizikal atau kurang cergas serta kanak-kanak yang datang dari keluarga miskin sahaja yang memerlukan vitamin dan mineral tambahan untuk menampung keperluan tubuh mereka.

GARIS PANDUAN BERI VITAMIN
Ibu bapa dan hal ini dinasihatkan supaya lebih peka terhadap keperluan memberi vitamin dan meneral tambahan untuk anak-anak mereka. Ini kerana ramai di kalangan ibu bapa yang menganggap vitamin perlu diberikan kepada kanak-kanak untuk tujuan kesihatan, meningkatkan kecerdasan mental dan fizikal serta tumbesaran.

Pakar pediatrik, Dr. Ulfat Shaikh dari Universiti California AS, dalam hal ini berkata pengambilan vitamin tambahan di kalangan kanak-kanak dan remaja perlu dikurangkan kecuali bagi ibu bapa yang beranggapan anak-anak mereka tidak mengambil makanan seimbang atau kekurangan zat.

Dalam kajian yang dilakukan oleh universiti berkenaan, mendapati ramai ibu bapa menjadikan vitamin sebagai salah satu makanan tambahan dalam diet anak mereka tanpa menyedari keperluannya. Harus diingat, pengambilan vitamin secara berlebihan (overdose) juga akan memberi kesan kepada kanak-kanak berkenaan. Apabila vitamin yang tidak diperlukan tubuh terus diambil ia akan menyebabkan kesan sampingan terhadap hati dan buah pinggang kanak-kanak itu kelak.

Malah hasil kajian mendapati ramai kanak-kanak diberi vitamin yang lansung tidak diperlukan tubuh mereka. Pengambilan vitamin dikatakan agak tinggi di kalangan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan tinggi, yang sentiasa menyediakan makanan yang mencukupi dan berkhasiat berbanding dengan kanak-kanak dari keluarga miskin yang sentiasa kekurangan khasiat pemakanan.

Kesan Terlebih Dos Vitamin
1. Muntah-muntah
2. Memudaratkan hati
3. Memudaratkan buah pinggang

Kanak-Kanak yang Tidak Perlukan Vitamin
1. Sihat tubuh badan
2. Ambil makanan seimbang dan berkhasiat
3. Berselera makan
4. Aktif dan cergas

Kanak-Kanak yang Perlukan Vitamin
1. Kanak-kanak yang mengalami kekurangan nutrien
2. Kanak-kanak yang kurang cergas
3. Kanak-kanak dari keluarga miskin
4. Kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan atau penyakit kronik

No comments: